Syazwani Shukri

Saturday, April 23, 2011

TSUNAMI vs POKOK BAKAU


Bencana tsunami pada 2004 yang turut memberi kesan kepada Malaysia telah menyebabkan masyarakat mula peka terhadap kepentingan pokok bakau, kata Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Ridzuan Salleh.
Menurutnya, selepas kejadian itu, tiada kes kecurian kayu bakau dilaporkan di kawasan pantai sebaliknya para penduduk turut sama-sama menyertai program menanam pokok itu melalui pelbagai penganjuran.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata, sejak 2005, kira-kira 80,000 pokok bakau telah ditanam di pesisir pantai yang antara lain bertujuan menjadi penampan ombak besar.
Sebelum kejadian tsunami pada 26 Disember 2004, kegiatan mencuri kayu bakau dilaporkan di kawasan pantai namun masyarakat mula menyedari peranan besar pokok itu. "Kami sentiasa memantau pokok-pokok bakau di kawasan pantai termasuk yang baru ditanam.  Kalau ada pokok yang mati, kami akan menyulamnya," kata Ridzuan.
Menurutnya, kawasan bakau pinggir pantai di Perlis hanya kira-kira 20 hektar dan saiz itu akan ditambah melalui kegiatan penanaman pokok-pokok baru. Beliau gembira dengan sumbangan Tentera Darat yang turut menanam 11,111 batang anak pokok bakau di pinggir pantai Sanglang hari ini yang menurutnya secara tidak langsung akan membesarkan saiz kawasan bakau.
Projek penanaman pokok bakau di kawasan seluas 0.55 hektar itu membabitkan 251 pegawai dan anggota Tentera Darat sempena sambutan hari Tentera Darat ke-78 dan ia diselesaikan dalam tempoh 78 minit.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, kegiatan penanaman bakau secara besar-besaran itu adalah yang pertama pernah diadakan oleh Tentera Darat.
Melalui program ini, beliau berharap konsep untuk merakyatkan Tentera Darat akan tercapai dan pelbagai program seumpamanya akan dirancang selepas ini. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah turut berangkat dan menanam pokok bakau yang ke 11,111 di pantai itu hari ini.
- Kangar, 18 April 2011

Fikirkan

Setiap ciptaan Allah S.W.T di alam semesta mempunyai hikmah dan kegunaannya yang tersendiri. Dari makhluk sekecil zarah sehinggalah sebesar planet, semuanya bukti kebesaran Allah yang merangsang kita untuk berfikir tentang kekuasaanNya.
"Dia-lah Yang telah menurunkan air hujan dari langit untuk kamu, sebagiannya menjadi minuman dan sebagiannya (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu menggembalakan ternakmu. Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanaman-tanaman; zaitun, korma, anggur, dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.
[Surah An-Nahl:Ayat 10-11]

No comments:

Post a Comment