Syazwani Shukri

Sunday, April 24, 2011

kejutkan suami bangun solat subuh sampai koma

Marah kejut solat Subuh



AMPANG: Seorang isteri kini terlantar dalam keadaan koma dan bertarung nyawa
di hospital akibat dibelasah serta ditikam suaminya yang naik hantu selepas wanita
 itu menyuruhnya menunaikan solat Subuh.
Kejadian berlaku di rumah pasangan berusia 30-an terbabit di Pandan Indah Commercial
 Park, di sini, kira-kira jam 6 pagi semalam dan mangsa yang kehilangan banyak darah
 akibat cedera di perut kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila suami mangsa yang tidur berang selepas
 dikejutkan isterinya dan disuruh mendirikan solat Subuh.

“Tindakan mangsa menyebabkan suaminya berang sebelum berlaku pertengkaran hampir
 10 minit. Suaminya yang hilang pertimbangan membelasah mangsa lebih 30 minit sebelum
mengarahkan mangsa jangan menyuruhnya bersolat.

“Biarpun dibelasah dan diugut demikian rupa, mangsa masih meminta supaya suaminya
 berubah selain menunaikan solat,” katanya.

Menurutnya, keengganan mangsa mematuhi arahannya menyebabkan suaminya
 bertindak lebih agresif dengan mengambil pisau dan menikam perut wanita itu.


“Mangsa terjatuh sebaik ditikam dan keadaan itu menyebabkan suaminya panik,
 apatah lagi selepas melihat isterinya berlumuran darah serta meraung kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, bunyi bising akibat pertengkaran dan serangan suspek ke atas
 mangsa menarik perhatian jiran mereka, seorang lelaki berusia lewat 20-an yang
bergegas ke rumah pasangan itu.

“Sebaik masuk ke rumah berkenaan yang pintunya tidak berkunci, jiran itu melihat
mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah manakala suaminya berdiri
sambil memegang pisau.

“Terkejut dengan kehadiran jirannya, suspek segera melarikan manakala mangsa
 dibawa jirannya itu ke hospital dengan bantuan beberapa jiran lain,” katanya.

Difahamkan, sehingga petang semalam keadaan mangsa dilaporkan kritikal
 manakala suaminya yang menghilangkan diri kini diburu polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin,
 ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan
dan siasatan lanjut dilakukan.

No comments:

Post a Comment