Syazwani Shukri

Saturday, May 7, 2011

SELAMAT HARI IBU

Tanpa kita sedari, kita telah melupai mereka yang telah banyak berkorban untuk kita. Perit lelah mereka mengandungkan kita 9 bulan tidak langsung mereka ungkit, sekalipun kita banyak merungut bila mana mereka meminta bantuan daripada kita. Mereka mempertaruhkan nyawa mereka untuk melahirkan kita ke dunia ini, tapi pernahkan kita ucapkan terima kasih? Inilah golongan insan yang bergelar ibu yang kadang-kadang kita ketepikan, kita lupa jasa dan pengorbanan mereka.
Sempena Hari Ibu yang bakal tiba nanti, ilham datang untuk saya menulis sesuatu mengenainya. Kadang-kadang kita memandang golongan ini sebelah mata sahaja. Kita lupa pengorbanan besar mereka. Kenapa saya mengatakan sedemikian? Cuba lihat, berapa ramai warga emas yang sekarang ini tinggal di rumah kebajikan untuk menghabiskan dan menamatkan sisa baki kehidupan mereka? Walhal, mereka punyai anak, tapi anak-anak mereka enggan menjaga mereka. Faktor kerjaya, sibuk dan sebagainya dijadikan alasan. Adakah ini cara pembalasan anak-anak terhadap ibu yang telah berkorban kepada mereka selama ini?
Saya ingin mengajak kamu menonton video pendek ini yang bertajuk “Surat Seorang Ibu“. Video ini telah dirakamkan dan dihasilkan oleh SaifulNang bersamaCandidSyndrome dengan kerjasama CST Production dan ID Motion Pictures. Saya syorkan anda tonton sehingga habis video ini supaya anda dapat menghayati mesej yang ingin disampaikan.
Bagaimana? Adakah kamu dapat mesej yang ingin disampaikan? Saya harap video ini sedikit sebanyak membawa kita kesedaran dan peringatan supaya kita tidak melupai mereka. Selagi mereka masih disisi, masih boleh bergurau senda dengan anda, hargailah mereka. Jangan diketepikan dan dilupai mereka ini. Saya tersentuh dengan video ini kerana pada saya inilah realiti kehidupan masa kini. Janganlah tika mereka sudah tiada barulah kita hendak menghargai mereka, maka tiada guna lagi. Berbaktilah selagi mereka masih ada.

Apa yang anda ingin lakukan pada hari tersebut? Terpulang kepada kamu untuk menentukannya, tapi pada pandangan saya, tidak perlu kita tunggu tibanya Hari Ibu untuk kita hargai mereka. Selagi mereka disisi, selagi kita masih bernyawa, setiap hari kita harus menghargai mereka. Jangan sesekali kita lupakan jasa dan pengorbanan yang telah mereka lakukan demi kita semua. Syurga itu dibawah tapak kaki ibu, jadi berbaktilah dan hargailah mereka selagi kita masih berkesempatan. Saya pernah melihat seorang rakan saya menangis apabila tibanya Hari Ibu kerana ibunya telah tiada dan tidak berkesempatan untuk mambalas jasa ibunya itu. Jadi, bagi anda yang masih punyai ibu, hargailah mereka dan berbaktilah kepada mereka.

No comments:

Post a Comment